
Semalam kuliah maghrib di Surau Tmn Melati.Kitab Mastika hadis bertajuk ikhlas didalam menuntut ilmu dan amalan. Antara Intisarinya ....
1. Jangan Sombong di dalam Ilmu
2.Jangan bertengkar dengan orang jahil
3. Jangan niat untuk di puji atau di sanjung orang
...baca seterusnya.....
     Oleh : Ustaz Mohd Asri Zainul Abidin     
 
   Sabda Nabi SAW:
   
عَنْ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ t قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ r يَقُولُ: مَنْ طَلَبَ الْعِلْمَ لِيُجَارِيَ بِهِ الْعُلَمَاءَ أَوْ لِيُمَارِيَ بِهِ السُّفَهَاءَ أَوْ يَصْرِفَ بِهِ وُجُوهَ النَّاسِ إِلَيْهِ أَدْخَلَهُ اللَّهُ النَّارَ.
     Maksudnya :
 
        "Daripada Ka'ab bin Malik r.a, katanya : Aku mendengar RasululLah s.a.w.      bersabda: "Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) untuk menyaingi ulama, atau      berbahas dengan orang jahil, atau supaya dengan ilmu tersebut wajah orang      ramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka." (Riwayat      al-Tirmizi, Ibn Majah daripada Ibn 'Umar, al-Hakim daripada Jabir bin 'Abdillah.      Al-Hakim mensahehkannya dan disetujui oleh al-Zahabi. Lihat : Al-Mustadrak      1/272, cetakan Dar al-Ma'rifah, Beirut. Ada perselisihan dalam menentukan      kedudukan hadith ini, namun hadith ini mempunyai syahid (pembuktian daripada      riwayat lain) yang menjadikannya pada darjah sahih.)
 
   Tujuan menuntut ilmu agama adalah untuk keluar dari kejahilan demi mencari      kebenaran dan berpegang kepadanya. Juga untuk menegakkan kebenaran dan      membelanya. demikian tugasan dan tanggungjawab taalib al-'Ilm dan ulama' (ahl      al-'Ilm). Menuntut ilmu adalah ibadah dan ianya membawa insane muslim ke      syurga. Namun ada di kalangan manusia golongan yang ingin bermegah-megah      dengan ilmu agamanya, bukan untuk kebenaran tetapi sekadar untuk menaikan      diri dan kedudukannya sahaja. Dalam hadith ini disebut tiga niat buruk yang      menyebabkan penuntut ilmu agama dihumban ke dalam neraka.
 
   Pertama : Liyujaariya bihi al-'Ulama' - iaitu untuk bersaing dengan ulama.
 
   Kata al-Imam Ibn Athir (wafat 606H) : "maksudnya ialah untuk dia bersama      ulama di dalam perbahasan dan perdebatan bagi menzahirkan ilmunya kepada      orang ramai dengan tujuan riya' dan sum'ah (inginkan kemasyhuran). (Ibn al-Athir,      al-Nihayah fi gharib al-Hadith wa al-Athar, 1/256, cetakan Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah,      Beirut.)
 
   Turut berbincang dan berbahas dalam majlis ulama atau dengan para ulama      bukanlah satu kesalahan. Apatah lagi jika seseorang itu bernar-benar      berkemampuan. Islam menggalakkan kebangkitan ilmu dan generasi intektual      yang baru.
 
   Islam mengalu-alukan ijtihad yang baik dan memenuhi tuntutan. Namun yang      salah ialah pada niatnya yang ingin menjadikan ilmu sebagai jambatan      kesombongan dan ketakburan. Ilmu yang sepatutnya membawa dirinya kepada      syukur dan insaf dijadikan sebagai punca sikap bangga diri dan      menunjuk-nunjuk.
 
   Kesan niat yang sangat buruk sangat bahaya; orang yang seperti ini hanya      mementingkan dirinya sahaja bukan kebenaran fakta. Dia hanya ingin      menegakkan hujahnya untuk menaikkan namanya bukan untuk kebenaran yang Allah      redhai. Jika dia melihat kebenaran di pihak lain dia akan menolak dan      mencari dalih yang baru demi menjaga kemasyhuran namanya. Maka tempat orang      seperti ini di dalam neraka.
 
   Kata al-Imam al-Tibi (wafat 743H) : "Maksud hadith ini ialah dia tidak      menuntut ilmu kerana Allah, sebaliknya untuk dia berkata kepada para ulama :      "aku ini berilmu seperti kamu", kemudiannya dia takabur dan meninggikan diri      pada orang ramai. Ini semuanya (sifat) yang tercela dan azab siksa akan      dikenakan kepadanya." (Al-Tibi, Syarh al-Tibi 'ala al-Miskah al-Masabih,      1/420, cetakan Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, Beirut.)
 
   Kedua : Liyumaariya bihi as-Sufahaa' - untuk bertengkar dengan orang jahil.
 
   Kata Imam al-Munawi (meninggal 1031H) : "Maksudnya ialah untuk dia berhujjah      dan bertengkar dengan mereka secara sombong dan membanggakan diri." (Al-Munawi,      Faidh al-Qadir, 6/176, cetakan al-Maktabah al-Tijariyah al-kubra, Mesir)
 
   Niat buruk kedua dalam menuntut ilmu agama ialah menuntut ilmu dengan tujuan      untuk bertengkar dengan orang yang jahil kerana ingin menunjukkan      kehebatannya. Sedangkan antara tujuan ilmu ialah untuk menyelamatkan orang      jahil agar menemui kebenaran. Ini kerana akal golongan yang jahil sangat      terhad dan memerlukan bimbingan. Namun ada golongan yang menuntut ilmu untuk      bertengkar dengan golongan jahil ini dan menunjukkan kehebatannya kepada      mereka. Orang jahil yang terhad ilmu dan akalnya pasti menyangka dia hebat.      Mungkin hal ini tidak dapat dilakukan di hadapan ulama maka dia mencari      ruang di kalangan orang jahil.
 
   Sebenarnya berbahas, atau berhujjah, atau berdebat itu sendiri bukanlah      perkara yang terlarang dalam syariat, tetapi ianya mestilah dengan cara yang      baik dan membawa kesan yang positif. Bukan untuk kesombongan dan ketakburan      tetapi untuk membimbing manusia kembali kepada hidayah. Firman Allah dalam      surah al-Nahl ayat 125 yang bermaksud : "Serulah ke jalan tuhanmu (wahai      Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan ) dan nasihat pengajaran yang baik,      dan berdebatlah dengan mereka (yang endkau serukan itu) dengan cara yang      lebih baik; sesungguhnya tuhan mu Dia lebih mengetahui siapa yang sesat dari      jalanNya, dan Dia lebih mengetahui siapa yang mendapat hidayah petunjuk."
 
   Kata al-Tibi : "Maksud : berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih      baik ialah dengan cara yang terbaik dalam perdebatan, iaitu dengan lunak dan      berlemah lembut tanpa bersikap kasar dan keras. Ini kerana golongan yang      jahil itu kurang pertimbangannya." (Al-Tibi, op.cit. 1/420.)
 
   Ketiga : Yasrifa bihi wujuuha an-Naasi ilaihi - agar dengan ilmu tersebut      wajah orang ramai tertumpu kepadanya.
 
   Ini niat buruk yang ketiga iaitu menuntut ilmu agar mendapat habuan, harta      dan pangkat. Dia menjadikan pengetahuan agama untuk mencari popularity atau      mendapat kedudukan dan jawatan. Menjadikan orang ramai tertarik kepadanya.      Orang yang seperti ini sebenarnya bersedia untuk menjual agamanya untuk      habuan dunia yang dia buru.
 
   Kesalahannya bukan kerana dia mendapat habuan dunia atau kemasyhuran tetapi      niatnya yang memburu dunia dengan mempergunakan agama itu adalah suatu      kesalahan.
 
   Jika menjelmanya tiga niat buruk ini dalam jiwa pemegang amanah ilmu maka      ilmu tidak lagi menjadi cahaya yang menerangi kegelapan, sebaliknya ilmu      akan dijadikan jualan untuk mendapatkan habuan. Oleh itu Nabi s.a.w.      menjanjikan tiga niat buruk ini dengan neraka. Dalam hadith yang lain      baginda menyebut : maksudnya : "Daripada Abu Hurairah ; Sabda RasululLah      s.a.w. : " Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang dengannya dicari redha      Allah Azza wa Jalla, tetapi dia tidak mempelajarinya kecuali untuk      mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari      kiamat." (riwayat Abu Daud dan Ibn Majah. Al-Nawawi mensahihkannya dalam      Riyadh al-Solihin - lihat Ibn 'Allan, Dalil al-Falihin, 4/191 cetakan Dar      al-Fikr, Beirut)
 
   Pengajaran Semasa
 
   1.Semua para penuntut ilmu syarak pada zaman ini disemua peringkat hendaklah      membersihkan niat asal mereka dalam menuntut ilmu. Jika golongan ilmuan      Islam dapat dipulihkan niat mereka agar bersi dan mencari redha Allah s.w.t.      pastinya Islam akan terbela dan setiap yang mempermain-mainkannya akan      terjawab.
 
   2- Kemunculan individu dan NGO tertentu yang cuba menjadikan nas-nas agama      sebagai sendaan adalah terbit daripada salah satu dari tiga niat di atas.      Mereka ini bukan sahaja tidak mencukupi ilmu pengetahuan agamanya sebaliknya      mereka gagal membersihkan niat mereka dalam menuntut ilmu syarak atau ketika      membaca bahan agama.
 
   3- Kelahiran tokoh agama 'segera' yang mengajar agama di surau, masjid dan      sebagainya tanpa mendalami ilmu-ilmu Islam dan disiplin setiap ilmu adalah      berpunca dari niat ingin menzahirkan diri sekalipun mereka tidak layak.      Sebahagian mereka sememangnya mempunyai sedikit pengajian agama. Namun niat      ingin segera muncul di khalayak ramai menjadikan mereka tergesa-gesa menjadi      guru orang ramai sebelum mereka menguasai ilmu. Maka lahir fatwa-fatwa yang      menyanggahi kitab Allah dan sunnah RasululLah s.a.w.
 
   4- Orientalis telah memperdayakan umat Islam dalam persoalan niat menuntut      ilmu ini. Maka kita dapati pada hari ini ramai yang memiliki sijil agama      sehingga ke peringkat kedoktoran falsafah dari dunia barat dengan 'berguru'      kepada Yahudi dan Kristian. Sikap tidak mementingkan ilmu dan ingin segera      memeliki sijil segera dan memperolehi habuan dunia menjadikan sebahagian      mereka mengambil jalan pintas dengan berguru kepada musuh-musuh agama dalam      bidang agama. Kebanyakan mereka pulang ke dunia Umat Islam dengan membawa      pemikiran yang beracun. Secara sedar atau tidak mereka ini hari demi hari      hanya menambahkan keraguan jiwa mereka terhadap agama, demikian juga mereka      sebarkan kepada umat Islam.
 
   Sebab itu seorang tabi' besar Muhammad bin Sirin (wafat 110H) menyebut :      maksudnya : "Sesungguhnya ilmu ini (mengenai al-Quran dan as-Sunnah) adalah      Deen (agama). Oleh itu perhatikanlah daripada siapa kamu semua mengambil      agama kamu." (riwayat Muslim pada muqaddimah sahihnya)
 
   Bayangkan bagaimana dipelajari aqidah Islamiyyah daripada guru yang kafir      yang tidak percayakan Islam, bagaimana dipelajari tafsir daripada guru yang      tidak percayakan al-Quran, bagaimana dipelajari hadith daripada guru yang      tidak beriman dengan Muhammad sebagai Rasul, bagaimana dipelajari fekah      daripada guru yang tidak pernah mengamalkan hukum hakam syarak. Namun hanya      kepada Allah kita mengadu betapa ramai anak-anak umat Islam yang mendapat      kelulusan agama dengan panduan mereka yang tidak beriman kepada Islam.      mereka pulang dengan membawa gelaran-gelaran ilmu, namun sebenarnya      sebahagian mereka hanya membawa racun kepada umat Islam.
Ditaip semula oleh : Abdul Kadir

 
 
 
No comments:
Post a Comment